Tiada Solat Tarawih Dan Solat Hari Raya Aidil Fitri Tahun Ini, Aktiviti Masjid Tidak Dibenarkan Sehingga 31 Mei 2020.

Suasana Ramadan dan raya kali ini pastinya terasa lain tatkala seluruh dunia sedang bergelut dengan wabak Covid-19. Pastinya ramai yang merindui ibadah Solat Tarawih serta takbir raya yang syahdu kedengaran.

Dalam satu kenyataan media, demi menjaga keselamatan dan kesihatan semua orang, Sultan Selangor telah menitahkan supaya semua aktiviti di masjid tidak dibenarkan untuk dilaksanakan sehingga 31 Mei 2020 termasuklah solat Jumaat, solat berjemaah dan aktiviti ceramah.

Tiada solat berjemaah

Ini menunjukkan bahawa Solat Sunat Tarawih dan Solat Sunat Hari Raya Aidil Fitri tidak akan dilakukan secara berjemaah di masjid dan surau berdekatan rumah masing-masing.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, berkata walaupun berat hati, titah baginda itu adalah demi kesejahteraan rakyat di Selangor.

“Justeru, baginda menitahkan tempoh penangguhan solat Jumaat, solat secara berjemaah dan aktiviti ceramah dan kuliah di semua masjid, surau dan musolla di Selangor dilanjutkan sehingga 31 Mei depan.

“Namun demikian, jika wabak ini dapat dibendung dan diatasi dalam tempoh lebih awal, maka satu arahan baharu akan dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jika Hari Raya Aidil Fitri jatuh pada 24 Mei 2020, mungkin kita hanya boleh melakukan solat berjemaah bersama keluarga tersayang. Kalau anda berseorang, itu bukanlah alasan untuk tidak melakukan solat sunat tersebut. So jangan malas-malas okay.

Min pun rasa sedih sebab tak dapat nak rasa kemeriahan di surau lebih-lebih lagi waktu puasa ni. Walau apa-apa pun kita doakan agar kemelut Covid-19 ni berakhir dan semua orang dapat melakukan semua pekerjaan sedia kala.

Sumber: Berita Harian