UAE Laksanakan Kahwin ‘Online’ Buat Pasangan Mempelai Ketika Covid-19

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan banyak perkara terpaksa dibatalkan terutama yang melibatkan orang ramai termasuklah majlis keramaian, perkahwinan dan perhimpunan. Ekoran itu, rata-rata pasangan berasa kecewa kerana majlis perkahwinan mereka terpaksa dibatalkan.
Walaupun begitu, kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah melaksanakan perkhidmatan perkahwinan secara dalam talian (online) sebagai salah satu alternatif untuk mengelakkan penularan wabak Covid-19.
Menurut Menteri keadilan, perkhidmatan itu dilaksanakan adalah untuk membenarkan majlis perkahwinan diteruskan sementara UAE masih menjalankan tindakan berjaga-jaga dalam mencegah penyebaran virus tersebut.
Upacara Pernikahan Dilakukan Melalui Pautan Video
Pasangan boleh memilih tarikh majlis perkahwinan dalam talian yang akan dilakukan menerusi pautan video bersama jurunikah selepas semua dokumen berkaitan diluluskan.
Menerusi prosedur tersebut, setiap pasangan yang mahu menggunakan perkhidmatan itu perlu mendaftar di moj.gov.ae dan mengikuti langkah seterusnya.
Jurunikah akan mengesahkan identiti pasangan dan saksi sebelum sijil nikah diserahkan kepada mahkamah syariah untuk pengesahan. Pasangan pengantin akan menerima pengesahan sijil melalui mesej teks atau emel.
Perkhidmatan ini diperkenalkan selepas Dubai menggantung urusan berkaitan perkahwinan dan penceraian akibat kekangan pergerakan bagi mengekang Covid-19.
Menurut laporan Gulf News, perkhidmatan kahwin atas talian yang turut melindungi kesihatan dan keselamatan pekerja di mahkamah persekutuan itu telah bermula pada 12 April 2020.
Wow, sekarang bukan sahaja boleh shopping online, kahwin pun dah boleh online. Jimatlah majlis kahwin min nanti. Apa-apa pun kita doakan agar majlis yang dilakukan dapat berjalan lancar dan hubungan mempelai berkekalan hingga ke hujung nyawa.
Sumber: Gulf News, The National
